Dalam dunia serba pantas hari ini, produktiviti sering dianggap sebagai lambang kejayaan.
Pelajar berlumba-lumba menyiapkan tugasan dengan hasil terbaik, manakala pekerja muda berusaha menonjolkan prestasi tertinggi di tempat kerja.
Statistik menunjukkan peningkatan produktiviti rakyat Malaysia daripada 46 peratus pada tahun 2022 kepada 59 peratus pada 2024.
Menariknya, generasi Z mencatat kadar tertinggi iaitu 74 peratus, diikuti generasi Milenial (58 peratus), generasi X (55 peratus) dan Boomers (66 peratus).
Namun tanpa disedari, semangat untuk mencapai yang terbaik kadangkala bertukar menjadi beban kesempurnaan.
Di media sosial, ramai mempamerkan kejayaan dan gaya hidup sempurna, tetapi di sebalik paparan itu tersembunyi rasa letih, cemas, dan tekanan untuk sentiasa kelihatan produktif.
Inilah paradoks moden di mana kita mahu menjadi produktif, tetapi akhirnya terperangkap dalam kitaran perfeksionisme dan burnout.
Terlalu menuntut kesempurnaan (perfectionism) bukan sekadar mahu melakukan yang terbaik, tetapi keinginan untuk tidak pernah melakukan kesilapan.
Misalnya semasa menjalankan latihan industri, masih terdapat generasi muda masih takut melakukan kesilapan kerana takut membebankan rakan sekerja yang lain sedangkan itu merupakan satu tempoh pembelajaran untuk mereka.
Sekiranya mereka tidak melakukan kesilapan maka mereka tidak akan belajar.
Mereka yang terperangkap dalamnya sering menilai diri berdasarkan piawaian yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan takut gagal, menunda kerja kerana bimbang hasil tidak cukup baik, dan kecewa apabila sesuatu tidak sempurna.
Semasa di kampus, pelajar mungkin menghabiskan berjam-jam menyemak tugasan kecil hingga mengabaikan rehat, manakala pekerja muda meneliti semula keputusan kerja yang sudah pun baik.
Lama-kelamaan, keinginan untuk sempurna menjadi punca keletihan emosi yang mendalam.
Budaya “sentiasa sibuk” atau hustle culture memperburuk keadaan kerana mereka takut dilabelkan sebagai malas sekiranya berehat,.
Tambahan lagi, kejayaan orang lain dijadikan cermin untuk menilai diri sendiri.
Setiap kali membuka media sosial, kita diserang rasa bersalah kerana belum “produktif seperti orang lain” atau belum “berjaya seperti rakan yang lain”.
Tekanan inilah yang perlahan-lahan menghakis kesejahteraan diri dan membuka pintu kepada burnout.
Menurut laporan Wellness at Work Report 2024 oleh Employment Hero, 67 peratus pekerja di Malaysia dilaporkan mengalami gejala keletihan kerja, meningkat daripada 58 peratus pada tahun sebelumnya.
Burnout ini muncul dalam pelbagai bentuk seperti keletihan fizikal, gangguan tidur, hilang motivasi, dan rasa kosong walaupun sibuk sepanjang hari.
Ramai tidak sedar bahawa tubuh dan minda mereka sebenarnya sedang meminta ruang untuk berhenti.

Burnout bukan tanda lemah namun ia petanda bahawa seseorang telah berusaha terlalu lama tanpa keseimbangan.
Oleh itu. antara cara mengatasi burn out akibat terlalu menuntut kesempurnaan dalam pembelajaran dan di tempat kerja adalah seperti :
1. Mengamalkan konsep “good enough:
Anda perlu belajar menerima konsep good enough iaitu menghasilkan sesuatu yang baik dan berfungsi, bukan semestinya sempurna.
Tugasan yang siap jauh lebih bernilai daripada projek yang tertangguh kerana terlalu lama diperhalusi.
Dalam pembelajaran dan kerja, yang penting ialah perkembangan diri yang berterusan, bukan kesempurnaan mutlak.
2. Menghargai proses, bukan hanya hasil semata-mata
Proses belajar, mencuba, dan membaiki kesilapan membina ketahanan mental yang menjadi benteng terhadap burnout.
Kesilapan bukan musuh, tetapi guru yang mengajar kita untuk berkembang.
3. Bagi mengelak keletihan berpanjangan, bina sempadan masa antara kerja dan rehat.
Anda perlu tetapkan waktu berhenti belajar atau bekerja, dan benarkan diri untuk menikmati masa tanpa rasa bersalah dan sentiasa ingat bahawa rehat itu bukan kelemahan namun ia sebahagian daripada produktiviti yang sihat agar minda menjadi lebih fokus, kreatif dan tahan terhadap tekanan.
4. Amalkan juga swacinta (self-compassion)
Anda tidak seharusnya menghukum diriapabila sesuatu yang dirancang tidak menjadi.
Sebaliknya beri ruang untuk memahami bahawa kita telah berusaha sebaik mungkin dalam keadaan yang ada dan jika tekanan semakin berat, jangan segan mencari sokongan sama ada melalui rakan dipercayai, kaunselor, atau kumpulan sokongan di institusi pendidikan dan tempat kerja.
5. Menilai semula makna kejayaan
Kejayaan bukan sekadar angka pada slip keputusan atau pangkat di tempat kerja, tetapi kemampuan mengekalkan kesihatan mental, keseimbangan emosi dan hubungan sosial yang sihat.
Produktiviti sejati bukan diukur pada berapa banyak yang kita hasilkan, tetapi bagaimana kita berkembang sebagai manusia yang berdaya tahan dan bahagia.
Intinya, kesempurnaan bukan tanda kekuatan, dan kelemahan bukan tanda kegagalan.
Dalam dunia yang sering menuntut kita untuk laju dan sempurna, belajarlah untuk berhenti seketika kerana kadangkala, hanya dengan melambatkan langkah, kita benar-benar dapat menikmati perjalanan dan di situlah letaknya keindahan produktiviti yang bebas daripada burnout.
Rujukan :
Ali, S. (n.d.). Fenomena “BURNOUT” di dalam Kalangan Pekerja: Majikan Perlu Empati. Bil, 66. https://www.ikma.edu.my/images/dokumen/penerbitan/demensi/demensi-koop-66/66-3.pdf
BERNAMA. (2025, May 11). – Tenang Di Luar, Terluka Di Dalam: Isu Mental Kalangan Pekerja. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2487289
Employment Hero. (n.d.). The 2024 Wellness At Work Report. Malaysia. https://employmenthero.com/my/resources/wellness-at-work-report/

