HomeSarawakYES! NewsRAS Sarawak Pacu Kelestarian Mendepani Cabaran Iklim

RAS Sarawak Pacu Kelestarian Mendepani Cabaran Iklim

Rakan Alam Sekitar (RAS) di Sarawak ialah satu gerakan masyarakat yang berfungsi sebagai platform kolaboratif antara komuniti, sekolah, dan agensi kerajaan dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Program ini lahir daripada inisiatif Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia yang bertujuan menggalakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti pendidikan, kesedaran, dan tindakan praktikal berkaitan alam sekitar.

Di Sarawak, konsep ini diperluas melalui Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) dan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang melibatkan generasi muda dalam projek hijau, pemantauan kualiti alam sekitar, serta aktiviti pemuliharaan biodiversiti.

Pendekatan ini bukan sahaja mendidik, tetapi juga membentuk budaya tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.

Namun, Sarawak berdepan pelbagai cabaran besar yang menuntut tindakan segera apabila pencemaran udara akibat pembakaran terbuka dan pelepasan industri terus menjadi isu berulang terutama ketika musim kering.

Perkembangan terkini mengesahkan isu ini masih relevan apabila laporan TVS pada 29 Mac 2026 menunjukkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak dengan 17 kawasan berada pada kategori sederhana dan hanya satu kawasan berada pada tahap baik.

Infografik memaparkan tentang isu kualiti udara di Sarawak pada Mac 2026

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) memaklumkan keadaan ini dipengaruhi oleh fasa peralihan monsun yang dijangka berlangsung hingga Mei.

Fasa ini membawa tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang berpotensi memerangkap bahan pencemar di atmosfera.

Menurut NREB, peningkatan paras IPU berkemungkinan berpunca daripada pembakaran terbuka setempat serta jerebu rentas sempadan.

Sekiranya keadaan cuaca kering berterusan dan aktiviti pembakaran biomass meningkat, Sarawak berisiko mengalami episod jerebu yang lebih ketara.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), sebanyak 241 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia, manakala di Sarawak sebanyak 18 titik panas direkodkan, menunjukkan potensi pengaruh jerebu rentas sempadan terhadap kualiti udara negeri ini.

Situasi ini mengukuhkan lagi kepentingan peranan RAS sebagai pemangkin kesedaran dan tindakan komuniti.

Melalui penglibatan aktif masyarakat, pendidikan berterusan, dan kerjasama pelbagai pihak, usaha menangani cabaran pencemaran udara dan melindungi alam sekitar di Sarawak dapat diperkasakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Statistik Alam Sekitar 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan bahawa jumlah keseluruhan bencana kecil pada 2024 meningkat sebanyak 34.1 peratus iaitu kepada 228 kejadian daripada 170 yang direkodkan bagi tahun sebelumnya.

Perubahan iklim terus memberi kesan kepada negara pada tahun lepas, mengakibatkan pelbagai impak alam sekitar serta peningkatan kejadian bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran.

Banjir kekal sebagai bencana utama dengan mencatatkan 218 kejadian atau 95.6 peratus daripada keseluruhan kejadian bencana di Malaysia

Pertumbuhan pesat bandar seperti Kuching dan Bintulu turut meningkatkan jumlah sisa pepejal, sekali gus menekan sistem pengurusan sisa yang sedia ada.

Selain itu, aktiviti pembalakan dan pembangunan menjejaskan hutan tropika yang kaya dengan biodiversiti, mengancam habitat flora dan fauna unik Borneo yang menjadi khazanah dunia.

Dalam menghadapi cabaran ini, pelbagai agensi memainkan peranan penting dengan NREB Sarawak bertanggungjawab memantau kualiti alam sekitar serta melaksanakan program kesedaran awam.

JAS Sarawak pula berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran dan pemeliharaan.

Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) menggubal dasar strategik seperti Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 yang menyasarkan negeri rendah karbon.

Pihak berkuasa tempatan turut terlibat dalam pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam, memastikan kelestarian di peringkat komuniti.

Kerjasama antara agensi ini dengan masyarakat menjadi tonggak utama dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memberi kesan positif.

Setakat Oktober 2025, NREB telah menganjurkan sebanyak 56 program pendidikan alam sekitar yang menyasarkan komuniti, pelajar dan guru sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak industri.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu alam sekitar dan memupuk rasa prihatin serta tanggungjawab dalam pemeliharaan alam sekitar.

Selain itu, NREB menyasarkan penubuhan 1,459 PALS di seluruh sekolah di Sarawak untuk memperkasakan pendidikan alam sekitar.

Sehingga kini, sebanyak 681 Kelab PALS telah ditubuhkan, melibatkan ribuan pelajar dalam aktiviti pemuliharaan, pendidikan hijau, dan projek kelestarian.

Usaha ini membuktikan bahawa pendidikan dan kesedaran merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Infografik memaparkan tentang usaha pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan di Sarawak

Dalam ucapan penggulungan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, YB Datuk Haji Len Talif Salleh semasa Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat pada 1 Disember 2025;

Beliau menekankan bahawa Penilaian Kesan kepada Alam Sekitar (EIA) merupakan instrumen penting dalam memastikan pembangunan lestari di Sarawak.

Setakat suku ketiga tahun 2025, NREB telah menerima sebanyak 61 laporan EIA dan 15 Environmental Management Plan (EMP).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 laporan EIA dan 15 EMP telah diluluskan, manakala 15 laporan EIA masih dalam pelbagai peringkat penilaian.

Bagi memastikan terma dan syarat kelulusan dipatuhi, dalam tempoh Januari hingga Oktober 2025, NREB telah menjalankan sebanyak 918 post-EIA monitoring dan menerima 1,857 Environmental Monitoring Report (EMR).

Hasil pemantauan mendapati 87 kes ketidakpatuhan telah direkodkan, dengan 14 kes kertas siasatan dibuka dan 8 kes dikompaun bernilai RM150,000.

NREB kini sedang menambah baik Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) bagi post-EIA Monitoring dan garis panduan EMR untuk menyeragamkan pemeriksaan lapangan serta memperkukuh aspek pelaporan.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan Kawal Selia Kendiri Alam Sekitar melalui Audit Pematuhan Alam Sekitar (ECA).

NREB mewajibkan pelaksanaan penuh ECA bagi sektor perhutanan di Sarawak dengan sebanyak 63 audit dijalankan sehingga Oktober 2025 serta enam siri Kursus Pensijilan Juruaudit ECA melibatkan 153 peserta.

Langkah ini jelas menunjukkan usaha serius Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh proses pemantauan dan pematuhan, serta meningkatkan kompetensi juruaudit bagi memastikan pembangunan dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari.

Kesimpulannya, Rakan Alam Sekitar di Sarawak bukan sekadar program kesedaran, tetapi satu gerakan sosial yang menghubungkan komuniti, sekolah, dan agensi kerajaan dalam menangani cabaran alam sekitar.

Walaupun negeri ini berdepan isu pencemaran, banjir, dan deforestasi, inisiatif seperti PSEA, Kelab PALS, pelaksanaan EIA dan ECA membuktikan komitmen ke arah pembangunan hijau.

Dengan sokongan data terkini dan kerjasama bersepadu, Sarawak berpotensi menjadi model negeri rendah karbon di Malaysia.

Harapan besar terletak pada generasi muda dan komuniti yang bersatu hati, kerana hanya dengan kerjasama semua pihak, kelestarian alam sekitar dapat dicapai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Rujukan

  1. Bernama. (2026, March 28). IPU Sarawak meningkat, 17 kawasan pada tahap sederhana – TVS. TVS. https://www.tvsarawak.my/2026/03/29/ipu-sarawak-meningkat-17-kawasan-pada-tahap-sederhana/
  2. Blocked Page. (2026). Hmetro.com.my. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1305678/jumlah-bencana-kecil-meningkat-341-peratus-kepada-228-kejadian-pada-2024
  3. https://duns.sarawak.gov.my/web/attachment/show/?docid=OXpyUGMyNFhrTzJxLzloMVRmbzdxdz09Ojor2H6kY7DCi6HB-fQ8hmCa   

- Advertisement -

Subscribe to SarawakYES! Newsletter!

- Advertisement -

SarawakYES!
Privacy Overview

This website uses cookies so that we can provide you with the best user experience possible. Cookie information is stored in your browser and performs functions such as recognising you when you return to our website and helping our team to understand which sections of the website you find most interesting and useful.