HomeSarawakYES! NewsApa Langkah Seterusnya Selepas Tamat Pengajian?

Apa Langkah Seterusnya Selepas Tamat Pengajian?

Fasa selepas tamat pengajian merupakan antara tempoh paling mencabar bagi anak muda.

Peralihan daripada dunia akademik kepada alam pekerjaan memerlukan persediaan rapi, bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal dan dokumen profesional, tetapi juga kestabilan emosi serta kejelasan strategi jangka panjang.

Dalam suasana pasaran kerja yang semakin kompetitif, graduan perlu lebih proaktif dalam mengenali potensi diri, membina rangkaian profesional, serta meningkatkan kemahiran yang selari dengan permintaan industri semasa.

Langkah pertama membina kerjaya: kenali diri, fahami potensi, dan tentukan arah yang benar (Kredit Gambar : The Michigan Daily)

Pada masa yang sama, mereka turut berdepan tekanan sosial seperti perbandingan pencapaian rakan sebaya, ketidaktentuan ekonomi, serta persaingan tinggi dalam kalangan pencari kerja muda.

Walaupun cabarannya ketara, data terkini menunjukkan perkembangan positif dalam pasaran buruh negara.

Bilangan penganggur belia secara keseluruhan mencatat trend penurunan.

Kadar pengangguran belia pada tahun 2024 mencatatkan 10.4 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, dan 6.3 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.

Trend ini berterusan pada tahun berikutnya, apabila kadar pengangguran bagi kumpulan 15 hingga 24 tahun menurun lagi kepada 10.1 peratus, manakala kumpulan 15 hingga 30 tahun turun kepada 6.2 peratus setakat September 2025.

Angka-angka ini menggambarkan penambahbaikan dalam peluang pekerjaan dan keupayaan pasaran menyerap tenaga muda.

Menurut Kajian Pengesanan Graduan 2024, sebanyak 92.5 peratus graduan Malaysia telah berjaya mendapat pekerjaan, sementara 7.5 peratus masih belum bekerja.

Bidang yang paling banyak menyerap tenaga kerja muda merangkumi kejuruteraan, pembuatan, pembinaan, kesihatan dan kebajikan.

Di Sarawak pula, 90.2 peratus graduan sudah bekerja manakala 9.8 peratus masih mencari peluang.

Angka ini jelas menunjukkan bahawa peluang pekerjaan tetap wujud, namun persaingan kini jauh lebih sengit.

Pemilihan kerjaya selepas tamat pengajian memerlukan pertimbangan bijaksana dan langkah yang tersusun.

Dalam menghadapi realiti ini, terdapat beberapa strategi utama yang boleh membantu graduan memulakan langkah awal kerjaya dengan lebih yakin dan terarah.

Oleh itu, apa yang harus dilakukan oleh para graduan selepas tamat pengajian?

1. Kenali Diri dan Tetapkan Matlamat Awal

Proses mengenali diri dan menetapkan matlamat awal adalah asas penting sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.

Ramai graduan masih kabur tentang hala tuju kerjaya, manakala sebahagian yang lain hanya menemui minat sebenar selepas menjalani latihan industri.

Refleksi diri membantu mengenal pasti kekuatan, minat dan personaliti.

Menjawab soalan seperti “Apakah kemahiran yang saya miliki?”, “Industri apakah yang paling saya minati?”, dan “Apakah nilai utama yang saya cari dalam kerjaya, adakah kestabilan, kreativiti, pendapatan atau fleksibiliti?” dapat memberikan arah yang lebih jelas.

Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan tersebut, graduan boleh merangka pelan kerjaya tiga (3)  hingga lima (4) tahun serta mengenal pasti kemahiran tambahan yang perlu dipelajari untuk mencapai matlamat tersebut.

2. Menyediakan Dokumen Kerjaya yang Profesional

Penyediaan dokumen kerjaya yang profesional adalah langkah yang tidak boleh dipandang ringan.

Resume yang ringkas, padat dan tersusun dengan baik perlu menonjolkan pengalaman latihan industri, penglibatan projek universiti, pencapaian akademik serta kemahiran yang relevan dengan industri pilihan.

Graduan juga perlu mengelakkan kesilapan biasa iaitu menggunakan satu resume untuk semua permohonan kerja.

Penyesuaian resume bagi setiap jawatan adalah strategi penting untuk menarik perhatian perekrut.

Di era digital, profil LinkedIn juga memainkan peranan sebagai identiti profesional.

Headline yang jelas, ringkasan yang mesra dan mudah dibaca serta paparan portfolio seperti artikel, poster, video atau projek kumpulan dapat meningkatkan kebolehpasaran.

3. Mulakan pencarian kerja secara strategik

Dalam pencarian kerja pula, graduan tidak seharusnya terperangkap dalam mentaliti menunggu “kerja impian”.

Hakikatnya, kerjaya pertama jarang sekali sempurna.

Pencarian kerja memang memenatkan, tetapi setiap usaha kecil mendekatkan anda kepada peluang sebenar (Kredit Gambar : Agensi Pekerjaan Reeracoen Malaysia)

Yang lebih penting ialah memulakan langkah dan menerima peluang yang membuka ruang perkembangan.

Platform seperti LinkedIn Jobs, Jobstreet, Indeed, portal syarikat serta Telegram channel kerjaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Graduan digalakkan mensasarkan sekurang-kurangnya lima (5) jenis peluang, termasuk jawatan dalam bidang pengajian, kerja asas dalam industri berkaitan, jawatan kontrak atau sementara, kerja sambilan, serta program sukarelawan atau latihan industri tambahan.

4. Bina Rangkaian Profesional (Networking)

Aspek rangkaian profesional juga memainkan peranan penting.

Ramai graduan berjaya memperoleh pekerjaan melalui jaringan kenalan berbanding permohonan secara terbuka.

Oleh itu, sertailah alumni universiti, hadiri career fair atau seminar kerjaya, berhubung dengan senior melalui LinkedIn, serta menghantar mesej tunjuk minat kepada perekrut boleh membuka banyak pintu peluang.

Hubungan baik bukan sahaja memberikan maklumat kerja, tetapi juga rujukan profesional yang bernilai.

5. Persediaan Menghadapi Temuduga

Persediaan menghadapi temuduga adalah langkah seterusnya yang sangat penting.

Graduan perlu melatih cara memperkenalkan diri, menjelaskan pengalaman, dan memberi contoh kemahiran yang dimiliki.

Antara soalan lazim ialah “Ceritakan tentang diri anda”, “Mengapa anda ingin bekerja di syarikat ini?” dan “Apakah pengalaman paling mencabar dan bagaimana anda menanganinya?”.

Kajian tentang syarikat dan penyediaan soalan untuk panel turut membantu menonjolkan keseriusan dan persediaan calon.

6. Jaga Kesihatan Mental dan Fizikal

Fasa selepas tamat pengajian boleh mencabar emosi, terutamanya apabila permohonan kerja tidak mendapat maklum balas yang cepat ditambah lagi dengan melihat rakan-rakan seperjuangan yang lain sudah diterima kerja dalam industri pilihan.

Namun, anda harus ingat bahawa penting untuk menjaga rutin harian dengan memastikan tidur yang cukup, bersenam ringan, dan mengambil masa untuk aktiviti yang menenangkan minda seperti membaca, journaling, atau beribadah.

Anda juga harus ingat bahawa perjalanan ini bukan suatu perlumbaan dan setiap orang melalui laluan yang berbeza-beza.

Walaupun hari ini terasa pahit dalam usaha mencari pekerjaan impian, percayalah bahawa inilah detik yang akan paling dikenang pada masa depan.

Intinya, mengatur langkah utama selepas tamat pengajian merupakan proses signifikan yang memerlukan refleksi diri, kefahaman pasaran serta penilaian matang terhadap potensi jangka panjang.

Walaupun kerjaya pertama mungkin bukan pekerjaan impian tetapi ia adalah ruang untuk belajar, mencuba, dan membina keupayaan profesional.

Dengan strategi yang jelas, kemahiran yang relevan dan keberanian untuk meneroka, graduan boleh memulakan perjalanan kerjaya dengan lebih yakin dan bersedia.

Ingatlah, memilih kerjaya pertama ibarat memilih tapak untuk membina rumah.

Jika tapaknya kukuh dan sesuai, tiang-tiang pengalaman yang anda bina selepas itu akan berdiri lebih stabil, dan rumah masa depan anda lebih mudah terbentuk.

Rujukan :

Azeem, A. (2025, April 24). Realiti Graduan Sains Pentadbiran: Cabaran & Hala Tuju Selepas Graduasi. Travelog AZAR: Akademik, Motor, Kerjaya & Kehidupan; Blogger. https://www.azaraslan.com/2025/04/realiti-graduan-sains-pentadbiran.html

Department of Statistics Malaysia. (2025). Pengangguran Belia Bulanan | OpenDOSM. Dosm.gov.my; OpenDOSM. https://open.dosm.gov.my/ms-MY/data-catalogue/lfs_month_youth?visual=table

ManPower. (2025). Top Skills & Career Tips for Malaysia’s Job Market in 2025 | Manpower Malaysia. Manpower.com.my. https://www.manpower.com.my/en/insights/blogs/2025/10/in-demand-skills-and-smart-strategies-for-2025-and-beyond

Ministry of Economy Department of Statistics Malaysia. (2025). Graduate Statistics 2024. http://www.statistics.gov.my/uploads/release-content/file_20251031112538.pdf

Sistem Kajian Pengesanan Graduan, KPT. (n.d.). Kajian Pengesanan Graduan. Statistik Pendidikan Tinggi 2024 : Kementerian Pendidikan Tinggi. https://www.mohe.gov.my/muat-turun/statistik/2024-4/1708-bab-7-tracer-study-2024-pdf/file

UNITAR International University. (2022). 5 Perkara Yang Perlu Dilakukan Selepas Graduasi. UNITAR International University. https://www.unitar.my/bilik-berita/blog-my/perkara-yang-perlu-dilakukan-selepas-graduasi/

- Advertisement -

Subscribe to SarawakYES! Newsletter!

- Advertisement -

SarawakYES!
Privacy Overview

This website uses cookies so that we can provide you with the best user experience possible. Cookie information is stored in your browser and performs functions such as recognising you when you return to our website and helping our team to understand which sections of the website you find most interesting and useful.