HomeCareer AdviceMembina Kerjaya dalam Industri Kreatif

Membina Kerjaya dalam Industri Kreatif

Di Malaysia, industri ini bukan sekadar ruang untuk berkarya atau meluahkan ekspresi seni semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi salah satu penyumbang penting kepada ekonomi digital negara.

Pada tahun 2019, industri kreatif telah menyumbang sekitar 1.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara jiran yang secara purata menyumbang lima hingga tujuh peratus KDNK.

Dengan tenaga kerja menghampiri 900,000 orang, kerajaan telah menyasarkan sumbangan 20 peratus kepada KDNK, dari industri kreatif tempatan, dengan anggaran RM31.9 bilion sepanjang 2025.

Bidang kreatif di Malaysia terus berkembang dengan penyertaan generasi muda dalam pelbagai cabang seni dan teknologi digital, sejajar dengan aspirasi ekonomi kreatif negara Kredit Gambar : FreePik

Usaha kerajaan dalam memperluaskan industri dapat dilihat melalui peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan projek perintis Bengkel Komuniti Filem dan Belia Kreatif di seluruh negara tahun ini.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah meluluskan RM1.25 juta daripada RM12 juta yang telah diperuntukkan.

Program tersebut melibatkan 25 persatuan dan syarikat di 25 lokasi berlainan, dengan komitmen kerajaan MADANI untuk pembangunan industri kreatif hingga Disember 2026 di 240 lokasi.

Selain itu, Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) juga diwujudkan bagi membantu kelangsungan dan kelestarian penggiat dan pemain industri kreatif di Malaysia.

Ia turut dilihat sangat menyokong usaha dalam membangunkan industri terutamanya dalam bidang filem, muzik, kandungan kreatif digital serta seni visual, persembahan dan kraf.

Dari inisiatif ini, generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang ini tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan memberi sokongan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan industri kreatif.

Industri kreatif di Malaysia meliputi pelbagai cabang dari seni reka grafik, produksi filem, animasi, muzik, penulisan, fotografi, reka bentuk produk hingga ke kandungan digital.

Kemahiran animasi tempatan kini diiktiraf di peringkat antarabangsa, membuktikan potensi besar bakat muda Malaysia dalam memperkukuh pembangunan industri kreatif digital Kredit Gambar : BERNAMA

Ia merujuk kepada sektor ekonomi yang berasaskan idea, imaginasi dan bakat individu untuk menghasilkan nilai, sama ada dalam bentuk seni, reka bentuk, muzik, filem, animasi, permainan digital, fesyen, penulisan, mahupun kandungan digital.

Belia yang berminat boleh memilih untuk menjadi pereka grafik, animator atau pereka permainan, jurukamera atau penyunting video, penulis kandungan atau pengurus media sosial, atau pengarah seni.

Medium seperti TikTok, YouTube dan Instagram telah membuka peluang kepada individu untuk menjadi pencipta kandungan (content creator), sekali gus mewujudkan pekerjaan baharu seperti penganalisis media sosial, pengurus jenama digital, juru video kreatif dan penulis skrip digital.

Kejayaan dalam industri kreatif dan media bukan hanya bergantung kepada bakat semula jadi, tetapi juga kemahiran teknikal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Antara kemahiran penting yang kini menjadi keutamaan majikan termasuklah kemahiran digital dan teknologi iaitu penguasaan perisian reka bentuk seperti Adobe Creative Suite, pengetahuan asas kecerdasan buatan (AI), serta kebolehan menghasilkan kandungan multimedia interaktif menjadi nilai tambah besar.

Selain itu, kemahiran komunikasi dan penceritaan (storytelling) juga penting kerana dalam dunia media, naratif yang kuat mampu membina hubungan emosi antara jenama dan khalayak.

Penulis skrip, wartawan digital dan pengarah kreatif memerlukan kemahiran ini untuk memastikan mesej disampaikan dengan berkesan.

Kefahaman strategi pemasaran juga penting kerana pekerja kreatif kini perlu memahami analisis data dan strategi pemasaran digital bagi memastikan hasil karya mereka relevan dengan pasaran sasaran.

Dan akhir sekali fleksibiliti dan pemikiran kritis kerana industri ini sering berubah mengikut trend, jadi kemampuan untuk berfikir secara strategik dan menyesuaikan idea dengan keperluan semasa amat penting.

Walaupun menawarkan peluang yang luas, industri kreatif juga berdepan cabaran tersendiri.

Isu seperti pendapatan tidak menentu, kekurangan perlindungan sosial, dan persaingan sengit menjadi antara halangan utama.

Banyak pekerja kreatif bekerja secara bebas (freelance), menyebabkan mereka perlu bijak mengurus masa, kewangan dan rangkaian profesional.

Selain itu, kemasukan teknologi AI turut menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kerjaya dalam bidang kreatif.

Namun, penggunaan AI lebih berperanan sebagai alat bantu mempercepat proses idea dan reka bentuk bukannya menggantikan manusia sepenuhnya.

Oleh itu, pekerja kreatif perlu terus mengasah keunikan gaya, emosi dan nilai kemanusiaan yang tidak dapat ditiru oleh mesin.

Industri kreatif bukan lagi dianggap kerjaya sampingan atau “pekerjaan berasaskan minat semata-mata”.

Ia kini diiktiraf sebagai enjin ekonomi baharu yang menggabungkan kreativiti, teknologi dan keusahawanan.

Bagi mereka yang ingin menonjol dalam bidang ini, kunci kejayaan ialah keberanian mencuba, kesediaan untuk mempelajari teknologi baharu dan kemampuan bercerita dengan cara yang menyentuh hati khalayak.

Dunia kini tidak lagi hanya mencari idea yang indah, tetapi juga cerita yang bermakna.

Banyak peranan dalam sektor ini membenarkan fleksibiliti seperti bekerja secara bebas (freelance) atau menjalankan projek sendiri secara dalam talian.

Dengan pertumbuhan digital yang semakin pesat, peluang untuk bekerja dari Sarawak tetapi menyumbang kepada pasaran nasional atau antarabangsa semakin terbuka.

Bagi mereka di Sarawak yang ingin menceburi bidang ini secara serius, terdapat beberapa institusi pengajian yang menawarkan program berkaitan.

Contohnya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif menawarkan pelbagai kursus seperti Muzik, Drama dan Teater, Seni Halus, Teknologi Reka Bentuk, Sinematografi, Pengurusan Seni serta Animasi.

Selain itu, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak turut menawarkan program Reka Bentuk Multimedia, Animasi dan Reka Bentuk Visual di bawah kursus Media dan Komunikasi.

Manakala Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pula menawarkan program Media Digital Kreatif (Creative Digital Media) yang memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang animasi, reka bentuk 3D, Computer-Generated Imagery (CGI), reka bentuk permainan (game design) serta realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).

Sekiranya anda berminat dengan dunia seni, reka bentuk, komunikasi atau teknologi, dan jika anda memiliki kelebihan misalnya bakat kreatif, kemahiran digital atau minat mendalam untuk berkarya maka bidang industri kreatif adalah ruang yang sangat sesuai untuk diceburi.

Generasi muda Sarawak kini mempunyai kelebihan, kerana peluang terbuka luas dan teknologi memudahkan kerja jauh atau bekerja dengan pasaran antarabangsa.

Jadi, mulakan dengan langkah kecil, bina portfolio kreatif anda, manfaatkan peluang latihan atau geran yang tersedia, dan jadikan imaginasi anda sebagai kerjaya yang menjanjikan yang anda minati.

Rujukan :

Bernama. (2025, November 8). FINAS luluskan RM1.25 juta laksana projek perintis Bengkel Komuniti Filem, Belia Kreatif tahun ini. Astro Awani; Awani. https://www.astroawani.com/berita-hiburan/finas-luluskan-rm125-juta-laksana-projek-perintis-bengkel-komuniti-filem-belia-kreatif-tahun-ini-546704?utm_source=news_keyword_widget&utm_medium=data-embed&utm_campaign=20251109+News-Keyword-industri+kreatif

Bernama. (2025, July 4). Industri kreatif digital jana RM5.3 bilion, 10,000 peluang pekerjaan pada 2023 – Gobind. Astro Awani; Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/industri-kreatif-digital-jana-rm53-bilion-10000-peluang-pekerjaan-pada-2023-gobind-527942

UNIMAS Official Website. (2023, September 17). Faca. UNIMAS Official Website. https://www.unimas.my/faca

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (Kementerian Sumber Manusia). (n.d.). INFOGRAFIK PERBURUHAN SARAWAK TAHUN 2023 INFOGRAFIK PERBURUHAN SARAWAK TAHUN 2023 JABATAN TENAGA KERJA SARAWAK (KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA). https://www.jtkswk.gov.my/v2/wp-content/uploads/2024/10/INFOGRAFIK-PERBURUHAN-SWK-TAHUN-2023-TERKINI.pdf?

Portal Rasmi Kementerian Komunikasi. (2025). Kerajaan Sasar Sumbangan KDNK Industri Kreatif Sebanyak 20 Peratus Menjelang 2025 – Annuar. Komunikasi.gov.my. https://www.komunikasi.gov.my/awam/berita/20471-kerajaan-sasar-sumbangan-kdnk-industri-kreatif-sebanyak-20-peratus-menjelang-2025-

Portal Rasmi Kementerian Komunikasi. (2025). PAKEJ RANGSANGAN INDUSTRI KREATIF MALAYSIA (PRISMA). Komunikasi.gov.my. https://www.komunikasi.gov.my/awam/prisma

- Advertisement -

Subscribe to SarawakYES! Newsletter!

- Advertisement -

SarawakYES!
Privacy Overview

This website uses cookies so that we can provide you with the best user experience possible. Cookie information is stored in your browser and performs functions such as recognising you when you return to our website and helping our team to understand which sections of the website you find most interesting and useful.