Date:

Share:

Memilih Kerjaya Sesuai Dengan Minat Dan Bakat?

Related Articles

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DSOM) menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh negara mencapai 70.7 peratus, iaitu meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 17.23 juta orang bagi tempoh suku pertama 2025 berbanding dengan 17.10 juta orang pada suku keempat 2024.

Statistik ini menunjukkan rakyat kita semakin berdaya saing dalam pasaran kerja, mencerminkan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan yang lebih baik serta penggunaan kemahiran dan bakat yang lebih berkesan.

Bagi siswazah yang baru saja menamatkan pengajian, mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan akademik ditambah dengan minat dan bakat pasti mengujakan.

Siswazah baharu pasti teruja mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan akademik mahupun minat dan baka

Namun begitu, tidak semua siswazah atau sesiapa sahaja individu bernasib baik dalam mendapat pekerjaan yang diimpikan.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak seharusnya mematahkan semangat anda untuk memiliki kerjaya impian sama ada anda baru menamatkan pengajian ataupun ingin bertukar kerjaya.

Seperti yang pernah diungkapkan oleh Steve Jobs, “kerja anda suatu hari nanti akan menjadi sebahagian besar dalam hidup anda, jadi satu-satunya cara untuk benar-benar berpuas hati adalah melakukan apa yang anda percaya sebagai kerja yang hebat.

Satu-satunya cara untuk melakukan kerja yang hebat adalah dengan menyukai apa yang anda lakukan. Jika anda belum menemuinya, teruskan mencari. Jangan berhenti.”

Kata-kata popular Steve Jobs itu mungkin sedikit sebanyak boleh menjadi dorongan kepada anda untuk terus mencari pekerjaan impian anda.

Di sini dikongsikan juga empat (4) tips memilih kerjaya yang terbaik yang dikongsikan oleh Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM) di laman sesawang rasmi UPM sebagai panduan untuk anda:

  1. Kenal pasti apakah yang membangkitkan semangat anda

       Memahami minat boleh membantu mendalami keperibadian, watak dan aktiviti yang membangkitkan semangat anda.

       Dari situ, anda boleh menentukan objektif atau matlamat untuk perkembangan kerjaya yang dapat memenuhi tujuan anda. Hobi atau minat boleh menjadi pemangkin kepada pemilihan kerjaya.

  • Kenal pasti apakah dorongan anda

       Selain gaji yang lumayan, kemudahan dan insentif yang disediakan juga adalah faktor penting yang boleh memberi dorongan kepada anda untuk memilih pekerjaan tertentu.

       Antara beberapa faktor yang menjadi dorongan ialah lokasi tempat kerja, persekitaran kerja termasuklah cabaran yang anda mahukan turut menjadi perkara yang perlu anda tahu dan kenal pasti.

  • Kenal pasti apakah kemahiran anda

       Kemahiran adalah perkara penting dalam menentukan kompetensi anda dalam sesuatu bidang pekerjaan.  Sebagai contoh, sekiranya anda ingin memilih kerjaya profesional yang memerlukan sijil kelayakan atau kemahiran khusus, anda perlu memastikan anda memperolehi kemahiran yang diperlukan tersebut terlebih dahulu.

  • Kenal pasti apakah keutamaan hidup anda

       Keutamaan setiap individu adalah berbeza sama ada untuk menyara keluarga, membina kerjaya atau menyimpan wang untuk masa depan.

Setiap pencari kerja mempunyai matlamat yang berbeza berdasarkan kedudukan semasa dalam kehidupan mereka.

Mengenal pasti keutamaan anda dapat membantu dalam membuat keputusan memilih kerjaya. Dalam hal ini, anda boleh menyalurkan fokus dan tenaga ke arah keutamaan hidup anda.

Professional Asian businesswoman working at her office via laptop. Young Asian female manager using portable computer device while sitting at modern workplace.

Secara dasarnya, memilih kerjaya adalah satu keputusan penting yang mempengaruhi kejayaan dan kepuasan masa depan anda.

Seperti yang diungkapkan oleh Steve Jobs, tidak dinafikan bahawa kerjaya yang kita ceburi akan menjadi sebahagian besar dalam hidup kita.

Oleh itu, anda perlu bertanya pada diri sendiri apakah kerjaya yang boleh membantu mencapai matlamat anda.

Apa jua bidang yang anda minati belum pasti akan menjadi kerjaya. Sungguh pun begitu, hala tuju dan keinginan yang jelas difahami secara peribadi akan mendorong aspirasi anda untuk mendapatkan kepuasan dan keseronokan bekerja biarpun kerjaya yang diceburi bukanlah apa yang anda impikan.

Popular Articles