HomeCareer AdviceLatihan Kemahiran Penyelesaian Mampan Jurang Pekerjaan

Latihan Kemahiran Penyelesaian Mampan Jurang Pekerjaan

Transformasi ekonomi global bergerak pada kelajuan yang sukar diikuti oleh sistem pendidikan konvensional. Revolusi Industri Keempat (IR4.0), automasi lanjutan, kecerdasan buatan (AI), serta peralihan kepada ekonomi rendah karbon telah mengubah kandungan hampir semua pekerjaan.

International Labour Organization (ILO) menganggarkan bahawa sekitar 40 peratus pekerjaan global akan mengalami perubahan ketara dari segi tugas dan kemahiran menjelang 2030, walaupun hanya sebahagian kecil akan terhapus sepenuhnya.

World Economic Forum (WEF) pula melaporkan bahawa 44 peratus kemahiran teras tenaga kerja global dijangka berubah dalam tempoh kurang sedekad.

Lebih membimbangkan, lebih 60 peratus pekerja memerlukan latihan semula atau peningkatan kemahiran untuk kekal relevan.

Namun, sistem pendidikan konvensional yang kaku bergerak lebih perlahan berbanding kadar perubahan teknologi, mewujudkan jurang kemahiran yang serius.

Bank Dunia mengesahkan bahawa di negara berpendapatan sederhana, lebih 60 peratus majikan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja berkemahiran teknikal, walaupun kadar pengangguran belia kekal tinggi.

Fenomena ini membuktikan bahawa masalah pasaran buruh global bukan berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan, tetapi kegagalan struktur latihan menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi sebenar.

Jurang inilah yang memerlukan penyelesaian sistemik berasaskan latihan praktikal, fleksibel dan responsif terhadap industri iaitu ciri utama TVET.

Di peringkat antarabangsa, TVET semakin diiktiraf sebagai komponen teras pembangunan modal insan. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) melalui Strategy for TVET 2022–2029 menegaskan bahawa TVET memainkan peranan kritikal dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (pendidikan berkualiti) dan SDG 8 (pekerjaan produktif).

Kajian UNESCO-UNEVOC mendapati bahawa negara dengan sistem TVET bersepadu mencatat peralihan pendidikan-ke-pekerjaan 25 hingga 35 peratus lebih pantas berbanding sistem yang terlalu bergantung kepada laluan akademik.

Sistem latihan dwi (dual system) di Jerman dan Switzerland misalnya telah menghasilkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus, serta kadar pengangguran belia sekitar 3 hingga 4 peratus, jauh lebih rendah daripada purata Kesatuan Eropah.

Dari sudut pulangan ekonomi, Bank Dunia melaporkan bahawa pelaburan dalam TVET berkualiti tinggi memberikan pulangan tahunan antara 6 hingga 15 peratus, bergantung kepada sektor dan tahap kemahiran.

Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) turut mengesahkan bahawa negara yang melabur secara konsisten dalam latihan teknikal mencatat peningkatan produktiviti buruh antara 5 hingga 10 peratus dalam tempoh sederhana.

Data terkini dari ILO melalui projek perintis di Bangladesh menunjukkan bahawa pendekatan latihan industri yang distrukturkan semula (re-modelled industrial attachment) mampu meningkatkan kesediaan kerja dan kebolehpasaran graduan diploma dengan ketara.

Program yang melibatkan rakan industri seperti BSRM dan GPH Ispat di Bangladesh bukan sahaja menyediakan pengalaman praktikal tetapi juga membuka laluan pekerjaan terus kepada pelatih.

Rantau Asia Pasifik kini menjadi tumpuan utama pembangunan TVET global.

Asian Development Bank (ADB) mengunjurkan bahawa lebih 45 peratus pertumbuhan pekerjaan berkemahiran sederhana dan teknikal dunia akan berlaku di rantau ini menjelang 2030.

Pertumbuhan ini didorong oleh sektor pembuatan berteknologi sederhana, automasi industri, teknologi maklumat dan tenaga boleh diperbaharui.

Singapura melalui inisiatif SkillsFuture telah melibatkan lebih 80 peratus tenaga kerja dewasa dalam sekurang-kurangnya satu program peningkatan kemahiran sejak pelancarannya.

Korea Selatan pula menyalurkan lebih 1 peratus KDNK tahunan kepada latihan kemahiran, menyokong peralihan kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Di ASEAN, Vietnam menjadi contoh kejayaan pelaksanaan TVET berasaskan industri, di mana pelaburan strategik dalam latihan teknikal menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor pembuatan sebanyak lebih 7 peratus setahun dalam tempoh sedekad.

Namun, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dalam forum TVET 2026 memberi amaran bahawa rantau ASEAN menghadapi jurang kemahiran yang semakin melebar jika tidak segera mereformasi sistem TVET.

Menjelang 2030, kemahiran paling berisiko termasuk analisis data, keselamatan siber, literasi digital dan pelaporan ESG (Environmental, Social and Governance).

Kajian ACCA Global Talent Trends 2025 mendedahkan bahawa 57 peratus Gen Z dan 53 peratus Milenia bercita-cita menjadi usahawan, menjadikan TVET sebagai landasan ideal untuk membangunkan kemahiran keusahawanan dan digital.

Kerjasama rentas negara melalui penubuhan pusat kecemerlangan di politeknik terpilih, pertukaran pengetahuan dan penyelidikan bersama mengenai permintaan buruh masa depan dicadangkan sebagai langkah strategik untuk memastikan TVET di ASEAN kekal relevan dan berdaya saing.

Malaysia mencatat kemajuan ketara dalam pembangunan TVET.

Statistik rasmi menunjukkan kewujudan lebih 1,300 institusi TVET awam dan swasta dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET melebihi 94 peratus.

Pelajar TVET sedang menjalani latihan praktikal di bengkel pembinaan, menggambarkan pendekatan pembelajaran hands-on yang membantu menjana kemahiran teknikal bernilai tinggi

Dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET pada 95.5 peratus, TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan kerjaya utama yang menawarkan masa depan cerah, terutamanya dalam bidang kritikal seperti AI, robotik, automasi dan teknologi hijau.

Program Academy in Industry (ADI) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membuktikan keberkesanan latihan berasaskan industri.

Sehingga 2025, seramai 10,852 perantis telah mendaftar dengan 86.3 peratus graduan mendapat pekerjaan, manakala 61 peratus pekerja sedia ada menikmati kenaikan gaji.

Kerjasama strategik dengan syarikat berimpak tinggi seperti PROTON, Huawei, PETRONAS dan Daikin memastikan graduan ditempatkan dalam bidang berkapasiti tinggi dan bergaji setimpal.

Empat (4) Kolej Teknologi Lanjutan (ADTEC) JTM di Pasir Gudang, Bukit Katil, Kota Kinabalu dan Kepala Batas disasarkan mencapai 100 peratus kebolehpasaran menjelang 2025.

Latihan kemahiran teknologi yang moden menunjukkan TVET di Malaysia berkembang selaras dengan keperluan teknologi semasa dan masa depan

Tiga (3) kluster prestasi tertinggi dari segi penempatan kerja relevan bidang ialah pengangkutan (90.3 peratus), perkhidmatan kejuruteraan (88.6 peratus) dan penyelenggaraan elektrik (88.5 peratus), jauh mengatasi purata kebangsaan siswazah lepasan ijazah lanjutan (57.6%) dan diploma (53.3%).

Kerajaan Malaysia turut menyasarkan enrolmen TVET kepada 70 peratus di bawah RMKe-13, selaras dengan usaha menjadikan TVET sebagai pilihan utama pendidikan.

Di peringkat negeri, Selangor membuktikan bahawa pelaburan dalam TVET memberikan pulangan lumayan.

Menteri Besar Selangor, memaklumkan bahawa lebih 1,700 pelatih yang menamatkan latihan TVET berjaya mendapat pekerjaan di syarikat gergasi seperti Siemens, KMX, Matrix, Apple, BMW dan Dassault Systems.

Lebih menggalakkan, gaji mereka meningkat daripada RM1,700 kepada RM4,000.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM20 juta hingga RM26 juta untuk program TVET dan hasilnya, lebih 4,000 pelajar telah dilatih.

Inisiatif Selangor Career and Occupational Training (SCOUT) diperkenalkan untuk memastikan bekalan bakat mahir memenuhi permintaan industri, seterusnya mengukuhkan ekonomi negeri yang tidak bergantung kepada sumber semula jadi tetapi kepada kecemerlangan sumber manusianya.

Bagi Sarawak, negeri ini mempunyai keperluan TVET yang bersifat wilayah dan unik.

Struktur ekonomi negeri yang melibatkan sektor tenaga, minyak dan gas, pembinaan, pembuatan serta peralihan kepada ekonomi hijau memerlukan tenaga kerja teknikal yang khusus.

Pada masa yang sama, keluasan geografi dan taburan penduduk luar bandar menjadikan TVET instrumen penting untuk meningkatkan akses pendidikan dan mobiliti sosial.

Institusi seperti Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills dan politeknik awam berfungsi sebagai tulang belakang latihan kemahiran negeri.

Sarawak Skills mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan sekitar 93 peratus.

Beberapa program TVET Sarawak mencapai penarafan tertinggi dalam Penarafan Tunggal Program TVET Kebangsaan, menunjukkan pematuhan kepada standard industri dan kebolehpasaran graduan yang kukuh.

Pelatih TVET di Malaysia memperhalusi kemahiran mekanikal melalui latihan langsung di bengkel satu aspek penting dalam memenuhi permintaan industri berkemahiran tinggi

ILO melaporkan bahawa latihan kemahiran berasaskan komuniti mampu meningkatkan pendapatan isi rumah luar bandar antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) tahun.

TVET juga didapati mengurangkan kebarangkalian pengangguran belia sehingga 15 peratus berbanding kumpulan tanpa latihan kemahiran.

Bagi Sarawak, impak ini amat signifikan kerana TVET berpotensi:

  1. Mengurangkan penghijrahan belia luar bandar ke bandar besar dengan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran di kawasan setempat.
  2. Menyokong pembangunan ekonomi setempat melalui penglibatan komuniti dalam rantaian bekalan industri.
  3. Melibatkan komuniti tempatan dalam sektor baharu seperti tenaga boleh diperbaharui (hidro, solar), automasi dalam sektor perladangan dan perkhidmatan teknikal sokongan untuk industri minyak dan gas.

Memajukan Sarawak Melalui TVET

Untuk memajukan Sarawak, TVET perlu dilihat sebagai pelaburan strategik, bukan sekadar program latihan. TVET dapat memacu kemajuan negeri kerana :

  • Memenuhi Keperluan Industri Tempatan: Dengan kurikulum yang direka bersama industri (seperti PETRONAS, Samalaju Industrial Park), TVET memastikan anak tempatan mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
  • Mewujudkan Ekosistem Inovasi: Institusi seperti CENTEXS yang dilengkapi kemudahan canggih boleh menjadi pusat inovasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, membantu mereka beradaptasi dengan teknologi baharu.
  • Pembangunan Inklusif: Program TVET luar bandar membolehkan belia Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan komuniti pesisir pantai meningkatkan taraf hidup tanpa perlu meninggalkan akar umbi mereka. Ini selaras dengan matlamat pembangunan inklusif pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
  • Sokongan kepada Ekonomi Hijau dan Digital: Inisiatif seperti Sarawak Digital Economy Strategy memerlukan ramai juruteknik, jurutera sokongan dan pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui. TVET adalah pembekal utama bakat-bakat ini.

Berdasarkan data pasaran kerja terkini dan unjuran industri, berikut adalah bidang TVET yang mendapat sambutan tinggi dan menawarkan potensi pendapatan lumayan:

Bidang TVETSub-Bidang UtamaSektor PekerjaanPotensi Gaji Permulaan (Anggaran)Prospek Masa Depan
Teknologi Elektrik & Elektronik (E&E)Automasi Industri, Robotik, Penyelenggaraan IoTPembuatan termaju, MNC, Sektor Minyak & GasRM3,000 – RM4,500Sangat Tinggi (IR4.0)
Teknologi Digital & Kecerdasan Buatan (AI)Keselamatan Siber, Analisis Data, Pembangunan AplikasiPerkhidmatan IT, Perbankan, Startup DigitalRM3,500 – RM5,000Tinggi (Ekonomi Digital)
Teknologi Minyak, Gas & TenagaKimpalan Bawah Air, Penyelenggaraan Loji, Sistem HVPETRONAS, Syarikat Minyak & Gas, Pembekal PerkhidmatanRM3,000 – RM6,000 (termasuk elaun)Stabil & Tinggi
Teknologi Hijau & Tenaga Boleh DiperbaharuiPemasangan Panel Solar, Pengurusan Sisa, Kecekapan TenagaSyarikat Tenaga, Kontraktor Hijau, KonsultanRM2,800 – RM4,000Sangat Tinggi (Peralihan Hijau)
Penyamanan Udara & PenyejukanHVAC (Pemanasan, Pengudaraan, Penyaman Udara), Sistem Rantaian SejukBangunan Komersial, Hospital, Industri MakananRM2,500 – RM3,800Tinggi (Pembangunan Bandar)
Teknologi Pembinaan & Jalan RayaJuruukur Bahan, Teknologi Binaan Moden (IBS), Penyelenggaraan JalanrayaProjek Infrastruktur, Pemaju Perumahan, KontraktorRM2,800 – RM4,000Tinggi (Pembangunan Fizikal)
Kimpalan & Fabrikasi TermajuKimpalan Bawah Air, Fabrikasi Struktur KeluliLimbungan Kapal, Industri Minyak & Gas, PembuatanRM3,000 – RM5,500Tinggi (Kemahiran Khusus)
Hospitaliti & PelanconganSeni Kulinari, Pengurusan Acara, Pengurusan HotelIndustri Pelancongan, Hotel, ResortRM2,500 – RM3,500Tinggi (Negeri Pelancongan)

Nota: Gaji sebenar bergantung kepada majikan, lokasi dan kelayakan/kemahiran tambahan. Data di Selangor menunjukkan peningkatan gaji sehingga RM4,000 selepas latihan TVET.

Walaupun berkesan, TVET tidak terlepas daripada cabaran.

OECD memberi amaran bahawa tanpa standard kualiti yang konsisten, TVET boleh melahirkan tenaga kerja yang terlalu khusus dan kurang fleksibel.

Data OECD menunjukkan bahawa kemahiran teknikal tertentu boleh menjadi lapuk dalam tempoh lima (5) hingga tujuh (7) tahun jika tidak disokong latihan semula berterusan.

Di Sarawak, cabaran utama ialah kesinambungan latihan sepanjang hayat dan tahap penglibatan industri dalam reka bentuk kurikulum.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sistem TVET dengan penglibatan industri rendah mencatat kebolehkerjaan jangka panjang 10 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding sistem yang melibatkan industri secara aktif.

Selain itu, Bank Dunia menekankan kepentingan beralih daripada pengukuran output (bilangan graduan) kepada pengukuran hasil ekonomi sebenar (pertumbuhan pendapatan, kestabilan pekerjaan, mobiliti sosial).

Kajian longitudinal Bank Dunia menunjukkan graduan TVET berkualiti tinggi mencatat peningkatan pendapatan antara 15 hingga 25 peratus dalam tempoh lima (5) tahun.

Di peringkat global, negara seperti Iraq masih bergelut dengan tadbir urus TVET yang berpecah-pecah, kualiti tidak seragam dan perkaitan dengan pasaran buruh yang lemah.

Akses kepada latihan masih terhad untuk wanita, orang kurang upaya dan golongan rentan.

Ini menunjukkan bahawa pelaburan kewangan semata-mata tidak mencukupi tanpa reformasi tadbir urus dan penglibatan sektor swasta yang serius.

Tadbir Urus dan Pembiayaan: Faktor Kejayaan Kritikal

Bank Dunia melaporkan bahawa sistem TVET berprestasi tinggi lazimnya mengamalkan pembiayaan berasaskan hasil.

 Model ini meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam antara 10 hingga 15 peratus, sambil menggalakkan inovasi latihan.

Bagi Sarawak, pengukuhan penyelarasan dasar, kerjasama industri dan peluasan public-private partnership (PPP) boleh meningkatkan kapasiti latihan tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana awam.

Di Nigeria, Bank Dunia memuji inisiatif IDEAS-TVET yang menyediakan “starter-pack” kepada graduan serta menghubungkan mereka dengan Bank of Industry untuk pinjaman mudah bagi memulakan perniagaan.

Pendekatan holistik ini memastikan graduan bukan sekadar mencari kerja, tetapi mampu menjadi pencipta pekerjaan.

ILO menekankan kepentingan mekanisme RPL (Recognition of Prior Learning) yang diperhalusi, seperti di Kemboja, untuk memberi sijil formal kepada pekerja berpengalaman tetapi tidak mempunyai kelayakan formal.

Ini adalah strategi cepat untuk meningkatkan tenaga kerja mahir tanpa memulakan latihan dari kosong.

Satu isu kritikal dalam penilaian keberkesanan TVET ialah perbezaan antara output latihan dan hasil ekonomi sebenar.

Banyak sistem TVET berjaya dari segi bilangan graduan dan kadar penempatan pekerjaan awal, tetapi kurang menilai kesan jangka sederhana dan panjang terhadap produktiviti, pendapatan dan mobiliti sosial.

OECD menegaskan bahawa sistem TVET yang berprestasi tinggi lazimnya menggunakan indikator hasil seperti pertumbuhan pendapatan graduan, kestabilan pekerjaan dan keupayaan peralihan sektor, bukan sekadar kadar kebolehpasaran awal.

Kajian longitudinal Bank Dunia menunjukkan bahawa graduan TVET berkualiti tinggi mencatat peningkatan pendapatan antara 15 hingga 25 peratus dalam tempoh lima (5)  tahun berbanding individu tanpa latihan kemahiran formal.

Di negara yang mengintegrasikan TVET dengan pensijilan industri dan latihan semula berterusan, kadar mobiliti pekerjaan meningkat sehingga 20 peratus, menandakan keupayaan graduan menyesuaikan diri dengan perubahan struktur ekonomi.

Dalam konteks Sarawak, pengukuran impak TVET masih banyak tertumpu kepada indikator jangka pendek seperti kadar tamat pengajian dan penempatan pekerjaan awal.

Walaupun indikator ini penting, penilaian yang lebih mendalam terhadap kesan sebenar TVET terhadap pembangunan ekonomi wilayah perlu dipandang serius.

Integrasi sistem penjejakan graduan, data pendapatan dan keperluan industri boleh memberikan gambaran lebih tepat tentang keberkesanan pelaburan TVET.

Selain itu, UNESCO-UNEVOC menegaskan bahawa sistem TVET yang menilai impak secara berterusan lebih berupaya menyesuaikan kurikulum dan latihan dengan keperluan masa hadapan.

Bagi Sarawak, pengukuhan mekanisme pemantauan berasaskan data bukan sahaja meningkatkan kecekapan dasar, tetapi memastikan TVET kekal relevan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada cabaran pembangunan negeri.

Telah tiba masanya untuk kita mengubah persepsi dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama, bukan pilihan kedua.

Data dan bukti yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa TVET adalah penyelesaian terbukti kepada jurang kemahiran dan cabaran kebolehpasaran.

Kadar kebolehpasaran yang tinggi, potensi pendapatan yang kompetitif, serta laluan kerjaya yang pelbagai menjadikan TVET pilihan bijak untuk masa hadapan.

Kepada para pelajar, ibu bapa dan masyarakat:

  1. Lepasan SPM: Jangan terikat dengan mentaliti “pekerja kolar putih”. Dunia hari ini memerlukan lebih ramai juruteknik mahir, pakar automasi dan usahawan teknikal. Sijil TVET anda adalah tiket untuk memasuki pasaran kerja dengan segera, dengan gaji setanding, malah mungkin melebihi, graduan universiti.
  2. Pekerja Sedia Ada: Manfaatkan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran. Program seperti ADI KESUMA dan inisiatif SkillsFuture di peringkat kebangsaan (dan yang setara di Sarawak) disediakan untuk memastikan anda kekal relevan.
  3. Industri: Libatkan diri secara aktif dalam pembangunan kurikulum, sediakan tempat latihan industri berkualiti dan tawarkan laluan kerjaya yang jelas. Pelaburan anda dalam TVET adalah pelaburan dalam rantaian bekalan dan produktiviti syarikat anda sendiri.

Kepada pemimpin dan pembuat dasar di Sarawak:

Teruskan pelaburan dalam infrastruktur TVET, perkukuh kerjasama dengan industri terutamanya dalam sektor ekonomi baharu (hidrogen, CCUS, teknologi hijau) dan pastikan mekanisme penjejakan graduan yang mantap untuk mengukur impak sebenar.

Jadikan TVET sebagai naratif utama pembangunan Sarawak, memastikan tiada anak Sarawak yang ketinggalan dalam arus kemajuan.

TVET bukan sekadar program latihan. Ia adalah revolusi kemahiran. Ia adalah pemangkin ekonomi. Ia adalah masa depan. Rebutlah peluang ini.

Rujukan

Abang Johari Tun Openg. (2025). *Sarawak post-COVID development strategy 2.0: Empowering human capital through TVET*. Kuching: State Planning Unit, Chief Minister’s Department.

Asian Development Bank. (2023). TVET and skills development in Asia and the Pacific: A strategic framework for 2023–2030. Manila: Asian Development Bank.

Group, W. B. (2023, July 24). Improve Technical and Vocational Education and Training (TVET) to meet skills and labour mismatch. Bank Dunia.

International Labour Organization. (2024). World employment and social outlook: Trends 2024. Geneva: International Labour Office.

Ismail, N. A., & Hamzah, R. (2024). Graduate employability of TVET institutions in East Malaysia: A longitudinal study. Sarawak Journal of Social Sciences and Humanities, 3(1), 112–130.

Khaw, T. Y., & Wong, S. L. (2025). Technical and vocational education and training (TVET) in Malaysia: Challenges and pathways to reform. Journal of Technical Education and Training, 17(1), 45–62.

LEE, B. (2026, January 31). TVET graduate employment rates exceed 95% in most fields, says Zahid. The Star.

Marginson, S. (2023). Higher education and the labour market: Comparative perspectives on graduate employability. London: Routledge.

OECD. (2025). OECD skills outlook 2025: Learning for the future. Paris: OECD Publishing.

SAN, K. G., CARVALHO, M., & IBRAHIM, J. (2025, February 19). Record number of TVET students recorded in 2024, Dewan Rakyat told. The Star.

Sarawak Skills Maintains 93 Pct Graduate Employability. (2025, November 3). New Sarawak Tribune.

The Star Online. (2025, October 29). TVET enrolment targeted to hit 70% under 13MP. The Star.

UNESCO. (2024). Global education monitoring report 2024: Technology in education – A tool on whose terms? Paris: UNESCO.

*UNESCO Strategy for TVET (2022-2029) Transforming TVET for successful and just transitions*. (n.d.). UNESCO-UNEVOC.

Bank Dunia. (2024). The state of global TVET: Evidence from 55 countries. Washington, DC: Bank Dunia Group.

Yusoff, A. M., & Hassan, R. (2024). The role of TVET in addressing youth unemployment in ASEAN: A comparative study of Malaysia, Vietnam and Indonesia. Asian Journal of Vocational Education, 12(2), 88–104.

A nationwide survey to understand how the public, students, graduates, and employers view Technical and Vocational Education and Training (TVET) in Malaysia. Perceptions vs Reality. (n.d.). Retrieved February 6, 2026.

- Advertisement -

Subscribe to SarawakYES! Newsletter!

- Advertisement -

SarawakYES!
Privacy Overview

This website uses cookies so that we can provide you with the best user experience possible. Cookie information is stored in your browser and performs functions such as recognising you when you return to our website and helping our team to understand which sections of the website you find most interesting and useful.