Dalam era digital yang serba pantas dan penuh ketidaktentuan ini, kesihatan mental telah muncul sebagai isu penentu kesejahteraan generasi muda.
Di sebalik skrin yang memaparkan kehidupan serba sempurna, tersembunyi realiti pahit tentang generasi yang tertekan, cemas dan merasa sesak.
Namun, di tengah-tengah cabaran ini, sebuah program di Miri, muncul sebagai tanda harapan, membuktikan bahawa empati dan kehadiran kita mampu menjadi penyelamat nyawa.
Landskap kesihatan mental belia dunia telah berubah.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa 11% remaja mengalami masalah penggunaan media sosial yang membawa kepada kebimbangan kronik.
Menjelang 2025, UNICEF melaporkan 6 daripada 10 belia merasa “sesak” (overwhelmed) dengan berita dunia dan krisis iklim.
Di peringkat ASEAN, tekanan ekonomi dan stigma budaya memburukkan lagi keadaan, dengan kadar belia berisiko tinggi mencecah 68% di Filipina dan 59% di Singapura.
Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 1 daripada 6 kanak-kanak dan remaja mengalami masalah kesihatan mental.
Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia (MyMHI’23) mencatatkan skor sederhana 71.92, dengan domain “persekitaran” mencatatkan skor terendah.
Ini bermakna, belia kita rasa tertekan dengan persekitaran sosial dan ekonomi yang tidak menyokong mereka.
Sarawak dengan keunikan geografi dan budayanya, tidak terkecuali daripada krisis ini.
Di kawasan bandar seperti Kuching dan Miri, belia semakin proaktif menormalisasikan perbincangan tentang mental melalui inisiatif seperti Mind Brew.
Namun, realiti pahit tetap wujud: isu ketagihan alkohol sebagai “mekanisme daya tindak” dalam kalangan belia di pedalaman dan kecenderungan mencari sokongan spiritual terlebih dahulu sebelum bantuan profesional, menunjukkan masih ada jurang besar dalam akses dan pemahaman.
Malah, hanya terdapat lapan (8) jabatan psikiatri untuk seluruh Sarawak, membuktikan betapa terpinggirnya komuniti luar bandar dari segi fasiliti kesihatan mental.
Di sinilah letaknya signifikan Program Rakan Sarawak Destiny Movers (RSDM) 2026.
Pada pertengahan Februari 2026, Pustaka Negeri Sarawak, Miri menjadi saksi kepada sebuah bengkel yang bukan sekadar program kesedaran, tetapi ruang refleksi mendalam tentang peranan kita sebagai sahabat.
Menampilkan empat (4) orang penceramah berpengalaman, program ini membedah isu kesedihan dan pencegahan bunuh diri dengan perspektif yang saling melengkapi.
Encik Mohamad Nazwan Mohamad Taufik, seorang Pendidik Kesedihan Bertauliah, membuka mata peserta melalui sesi “Beyond Goodbye: Exploring the Grief Experience”.
Beliau menegaskan bahawa kesedihan bukanlah penyakit atau kelemahan, sebaliknya tindak balas semula jadi terhadap kehilangan, sama ada kematian, perceraian, kehilangan pekerjaan, atau impian yang musnah.
Mesej paling mendalam dari sesi ini adalah bahawa kesedihan tidak memerlukan nasihat atau penyelesaian, sebaliknya ia memerlukan “kehadiran” (presence) tanpa penghakiman.
Dr. Ravivarma Rao Panirselvam, Pakar Psikiatri Hospital Miri, kemudian membawakan sesi “Suicide Prevention: Scaling Hope”.
Beliau mendedahkan realiti pahit bunuh diri yang meragut ratusan ribu nyawa setiap tahun, dengan golongan muda sebagai kelompok paling berisiko.
Dalam dunia di mana 7,681 kes buli (termasuk buli siber) direkodkan pada 2024, tekanan digital menjadi pemacu utama.
Dr. Ravivarma menekankan bahawa komunikasi yang selamat dan terbuka, serta pendekatan kesihatan awam, adalah kunci utama untuk memperluas harapan (Scaling Hope) dan membuka ruang selamat bagi mereka yang bergelut.
Aspek paling praktikal dan dekat dengan kehidupan seharian disampaikan oleh Puan Nooridaly Irwanna, sukarelawan MHAS Miri.
Melalui senario “Mesej Tengah Malam”, beliau memperkenalkan pendekatan D.U.D.U.K, satu panduan mudah untuk mendampingi individu dalam krisis:
- D – Diam dan dengar: Beri ruang untuk mereka meluah tanpa gangguan.
- U – Ungkapkan empati: Tunjukkan kita memahami kesakitan mereka.
- D – Don’t ask direct questions: Elakkan soalan yang menekan atau bersifat investigatif.
- U – Usaha cari bantuan: Jangan teragak-agak untuk menghubungi profesional jika keadaan mendesak.
- K – Kekal bersama: Pastikan mereka tidak berasa keseorangan.
Beliau mengingatkan bahawa menyelamatkan nyawa jauh lebih penting daripada menyimpan rahsia.
Kehadiran seorang sahabat yang memilih untuk tetap ada, sering menjadi faktor penentu seseorang untuk terus bertahan.
RSDM 2026 mengajar kita satu perkara fundamental: kesihatan mental bukan isu yang boleh disembunyikan di sebalik stigma.
Ia perlu dibicarakan dengan empati, difahami dengan ilmu dan ditangani dengan tindakan kolektif.
Ketika data menunjukkan bahawa kita semakin tertekan dengan dunia digital dan persekitaran yang tidak menyokong, kita semua mempunyai pilihan.
Pilihan untuk menjadi penyokong yang tidak menghakimi. Pilihan untuk hadir.
Sebagaimana rumusan indah dari bengkel ini:
“Kadangkala seseorang masih hidup hari ini kerana ada seseorang yang memilih untuk tetap ada.”
Jom, kita bina komuniti Sarawak yang lebih empati, lebih prihatin dan lebih bersedia untuk menyelamatkan nyawa.
Mulakan dengan D.U.D.U.K.
Mulakan dengan kehadiran anda.
