Pelbagai inisiatif untuk kemajuan jangka masa panjang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha melahirkan modal insan yang cekap dan berkualiti serta sesuai dengan keperluan pekerjaan masa kini dan masa depan yang selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Antara inisiatif dalam usaha tersebut termasuklah melahirkan tenaga kerja dan masyarakat celik sains dengan menggalakkan dan menyasarkan 60 peratus kemasukan pelajar sekolah ke aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) termasuklah menubuhkan Pusat Sains di Petra Jaya yang kini dalam pembinaan serta memperkenalkan biasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sarawak.
Bidang sains telah terbukti dapat memajukan ekonomi sesebuah negara yang dicorakkan oleh modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai cabang kerjaya dalam bidang berkenaan.
Inovasi yang terhasil melalui asas sains dapat meningkatkan produktiviti dalam sektor perindustrian, pertanian dan perkhidmatan selain dapat meningkatkan kualiti hidup melalui penemuan baharu dalam bidang perubatan misalnya, termasuklah sistem komunikasi dan pengangkutan.

Mendalami bidang sains juga membuka peluang dalam penerokaan sumber baharu dan memahami alam semesta serta meneroka peluang ekonomi dalam pembangunan teknologi hijau dan kelestarian yang dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Kepentingan sains boleh dilihat sebagai asas kepada pembangunan teknologi moden seperti komputer, telefon pintar, kenderaan elektrik dan juga teknologi tenaga boleh diperbaharui yang lebih bersih.
Selain itu, bidang sains sangat penting dalam peningkatan kualiti hidup menerusi penemuan baharu dan penciptaan peralatan serta ubat-ubatan dan teknik rawatan serta menyediakan penyelesaian dalam menangani dan melaksanakan mitigasi perubahan iklim.
Sains juga mampu meningkatkan ekonomi melalui inovasi berasaskan sains yang menghasilkan produk baharu dan membuka peluang pekerjaan dalam sektor-sektor seperti bioteknologi, aeroangkasa dan automasi.
Secara asasnya, sains membantu manusia memahami fenomena alam semula jadi dan penerokaan ke angkasa lepas, menggalakkan pemikiran logik, analitik dan kritis yang penting dalam membuat keputusan berasaskan bukti saintifik.
Secara amnya, bidang sains mempunyai banyak kelebihan dan kepentingan dalam aspek kehidupan manusia sejagat.
Seperti mana pandangan yang disuarakan oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Kolej Universiti i-CATS, Puan Maqueline Cyndi anak Nap ketika ditemu bual sempena Minggu Sains Negara 2025, kelebihan sains boleh dilihat melalui pendedahan latihan praktikal.

Para pelajar berupaya mengimbangi pengetahuan yang diperolehi melalui gabungan pembelajaran secara teori dan praktikal.
Menurut beliau, industri pada masa ini sememangnya banyak memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran, khususnya dalam bidang STEM bagi memenuhi keperluan industri lebih-lebih lagi Kerajaan Sarawak pada masa ini amat menekankan STEM dalam melahirkan modal insan yang dapat memacu kemajuan negeri.
Beliau berpendapat, hal tersebut menjadi kelebihan kepada pelajar-pelajar aliran STEM sama ada di peringkat sekolah ataupun peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam meneroka peluang kerjaya masa depan mereka.
Sebagai contoh, lepasan peringkat diploma Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi i-CATS boleh bekerja dalam pelbagai bidang kejuruteraan industri seperti pelukis pelan dalam kejuruteraan awam manakala lepasan ijazah pula berpeluang menjadi jurutera ataupun pemeriksa tapak, juruteknik makmal dan sebagainya.
Puan Maqueline memaklumkan, kebanyakan pelajar lepasan kejuruteraan i-CATS mempunyai peluang cerah dan berpotensi untuk diambil bekerja selepas tamat menjalani latihan industri.
Berdasarkan statistik hasil daripada kaji selidik yang dijalankan oleh pihak universiti, kadar kebolehpasaran semasa graduan i-CATS telah melebihi 90 peratus dan i-CATS telah melahirkan seramai lebih 5,000 orang graduan setakat ini.
Jelas beliau lagi, pihak fakulti pada masa ini juga sedang membangunkan program peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi termasuk aeroangkasa yang merupakan salah satu cabang dalam sains dan teknologi.
Mengulas mengenai penganjuran Minggu Sains Negara 2025 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan pada 3 hingga 5 Mei lepas, beliau berpandangan, program berkenaan boleh dijadikan sebagai platform untuk mempromosi STEM, khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah mahupun IPT awam dan swasta.
Para pelajar juga dapat menimba ilmu pengetahuan melalui pendedahan dalam aktiviti pembelajaran interaktif serta dapat mencuba sendiri eksperimen-eksperimen sains yang menarik yang dipamerkan oleh para peserta pameran.