Ungkapan “buat apa belajar tinggi kalau akhirnya ke dapur” bukan sekadar gurauan, tetapi sempadan halimunan yang menyekat impian wanita.
Walaupun secara biologi merujuk kepada jantina, peranan gender wanita sering dicorakkan oleh norma masyarakat yang mengehadkan potensi mereka dalam arus pembangunan moden.
Di Malaysia, statistik 2024 menunjukkan wanita mendominasi institusi pengajian tinggi (IPT). Enrolmen wanita di IPTA mencecah 413,872 orang, jauh mengatasi lelaki (295,464).
Meskipun dominan dalam bidang perniagaan dan pendidikan, penglibatan dalam bidang teknikal (STEM) masih menunjukkan jurang, dengan hanya sekitar 71,140 wanita dalam bidang kejuruteraan berbanding 137,641 lelaki. Ini menunjukkan perlunya galakan berterusan untuk wanita menceburi bidang teknologi tinggi.
Walaupun cemerlang di universiti, penglibatan wanita dalam pasaran kerja masih menghadapi cabaran yang tersendiri.

Kredit Gambar : Harian Metro
Sebagai contoh, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita setakat tahun 2025 berada di tahap 56.3 peratus, yang mana walaupun menunjukkan peningkatan, angka ini masih rendah berbanding lelaki yang mencatatkan 82.9 peratus.
Selain itu, dalam aspek sektor informal, ramai wanita beralih ke ekonomi gig demi fleksibiliti menjaga keluarga, namun trend ini menyumbang kepada risiko ketiadaan perlindungan sosial bagi jangka masa panjang.
Walau bagaimanapun, Malaysia telah mencapai kemajuan signifikan dalam meletakkan wanita di kerusi pembuat keputusan, terutamanya dalam sektor korporat.
Sasaran 30 peratus wanita dalam Lembaga Pengarah bagi 100 syarikat tersenarai awam (PLC) teratas telah pun dicapai dengan catatan sekitar 30.7 peratus, sekali gus membuktikan keupayaan wanita dalam tadbir urus korporat.
Pencapaian dalam sektor awam pula lebih membanggakan apabila wanita kini mengisi lebih 38 peratus jawatan di peringkat Jusa C ke atas dalam perkhidmatan awam.
Namun begitu, representasi dalam politik dan Parlimen masih mencabar iaitu sekitar 13.5 peratus, yang menunjukkan perlunya reformasi struktur bagi menggalakkan kepimpinan politik wanita.
Di samping itu, wanita kini merupakan tulang belakang ekonomi mikro di Malaysia melalui pemilikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Kira-kira 20.6 peratus daripada PKS di negara ini dimiliki oleh wanita, yang mana mereka menyumbang secara langsung kepada KDNK negara.
Perkembangan ini turut didorong oleh transformasi digital melalui inisiatif seperti eUsahawan yang membolehkan ribuan wanita luar bandar menguasai pasaran e-dagang dan memecahkan had geografi untuk menjana pendapatan dari rumah.
Stereotaip bahawa wanita adalah “pengasuh semula jadi” tidak lagi relevan dalam era automasi.
Pilihan kerjaya wanita sering kali merupakan strategi jangka panjang untuk mengimbangi peranan profesional dan keluarga, bukannya kerana kekurangan kemampuan.
Untuk memastikan negara tidak kehilangan modal insan yang berharga, masyarakat perlu berhenti menentukan “bidang yang sesuai” berdasarkan jantina.
Apabila seorang wanita diperkasakan sama ada sebagai jurutera, pemimpin korporat, atau usahawan digital, yang terbang tinggi bukan hanya dirinya, tetapi seluruh tamadun negara.
Rujukan :
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2024). Anggaran penduduk semasa, Malaysia, 2024. Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2025). Statistik pemerkasaan wanita dalam bidang terpilih, Malaysia, 2025. Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. (2021). Pelan strategik KPWKM 2021-2025. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. https://www.kpwkm.gov.my
Kementerian Pendidikan Tinggi. (2024). Statistik pendidikan tinggi 2024. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia. (2024). Laporan impak ekonomi digital dan program eUsahawan. MDEC.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. (2024). Corporate governance monitor 2024. Kuala Lumpur: Securities Commission Malaysia.
