Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan titik penting dalam kehidupan pelajar, menandakan peralihan dari alam persekolahan ke dunia yang lebih luas.
Setelah tamat SPM, ramai pelajar berdepan dengan persoalan besar – apakah langkah seterusnya? Keputusan yang diambil pada peringkat ini akan memberikan impak jangka panjang terhadap masa depan golongan belia, sama ada dalam bidang akademik, kerjaya atau keusahawanan.
Sebahagian pelajar memilih untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seperti universiti, kolej atau institut latihan kemahiran. Bagi yang ingin terus bekerja, memperoleh sijil tambahan dalam bidang tertentu dapat meningkatkan kebolehpasaran seseorang individu. Selain itu, ada juga yang berminat dalam bidang keusahawanan, di mana pengetahuan dan kemahiran tertentu diperlukan untuk berjaya.
Pendidikan menengah memainkan peranan penting dalam menyediakan asas ilmu dan kemahiran untuk masa depan.
Salah satu keperluan utama melengkapkan pendidikan menengah adalah untuk merebut peluang pekerjaan. Dalam pasaran kerja hari ini, kebanyakan majikan menetapkan SPM sebagai syarat minimum untuk pekerjaan asas.
SPM melambangkan tahap kelayakan akademik yang mencerminkan pemahaman dalam bidang seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang merupakan ilmu asas dalam alam pekerjaan.

Sebagai contoh, jawatan seperti pembantu jualan, kerani, operator pengeluaran dan pembantu perkhidmatan pelanggan biasanya memerlukan sekurang-kurangnya sijil SPM. Pekerjaan dalam sektor kerajaan seperti jawatan Pembantu Tadbir (N19) juga menetapkan SPM sebagai kelayakan minimum.
Dalam industri perhotelan dan perkhidmatan makanan pula, kelayakan SPM diperlukan untuk menjadi pelayan restoran, penyambut tetamu, atau kru dapur di hotel serta restoran ternama.
Selain membuka peluang pekerjaan, melengkapkan pendidikan menengah adalah langkah penting bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana SPM merupakan syarat utama bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Tanpa sijil ini, pelajar mungkin berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang diminati terutamanya apabila melibatkan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan.
Misalnya, SPM digariskan sebagai syarat asas untuk kelayakan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) atau Kolej Vokasional.

Seterusnya, kesedaran dalam kalangan pelajar untuk memperoleh sijil tambahan setelah tamat SPM perlu ditingkatkan bagi memastikan golongan belia lebih bersedia menghadapi cabaran dalam arena profesional.

Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, memiliki sijil tambahan dapat meningkatkan kebolehpasaran seseorang. Selain SPM, sijil dalam bidang kemahiran teknikal, teknologi atau keusahawanan dapat membantu individu memperluaskan peluang kerjaya.
Hal ini demikian kerana pihak majikan lebih cenderung mengambil pekerja yang mempunyai kemahiran spesifik kerana mereka memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan.
Sebagai contoh, sijil kemahiran teknikal seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) membolehkan seseorang berkecimpung dalam bidang automotif, elektrik atau kulinari.
Bagi belia yang berminat dalam bidang teknologi, memperoleh sijil dalam kecekapan komputer seperti Microsoft Office, programming atau reka bentuk grafik boleh memberikan kelebihan dalam pekerjaan berkaitan teknologi maklumat dan digital.

Di samping itu, memperoleh sijil tambahan selepas SPM dapat memperluaskan potensi seseorang untuk memperoleh gaji yang lebih lumayan dalam pasaran kerja yang kompetitif.
Degan adanya sijil tambahan, ia membuktikan bahawa individu tersebut telah menjalani latihan khusus dalam bidang tertentu, menjadikannya lebih mahir dan bernilai bagi kemajuan sesebuah organisasi.
Sebagai perbandingan, seorang individu yang hanya memiliki SPM mungkin memperoleh pekerjaan sebagai pembantu kedai atau operator pengeluaran dengan gaji minimum. Namun, jika seseorang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang automotif atau elektrik, mereka boleh bekerja sebagai juruteknik dengan gaji yang lebih tinggi.
Bagi pelajar yang memiliki minat dalam bidang perniagaan, sijil keusahawanan juga mustahak bagi individu yang ingin memulakan perniagaan sendiri. Kursus keusahawanan yang diiktiraf boleh membantu seseorang memahami aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan strategi perniagaan.
Misalnya, sijil daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) atau program latihan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat membimbing usahawan muda membina perniagaan yang berjaya.
Bahkan, sijil dalam bidang keusahawanan juga membolehkan seseorang memulakan perniagaan sendiri yang berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi berbanding berkhidmat sebagai tenaga kerja dalam organisasi tertentu.
Memperoleh sijil tambahan selepas SPM bukan sahaja meningkatkan potensi diri golongan belia, namun mampu memberikan peluang untuk membina jaringan dan hubungan profesional.
Dengan mengikuti kursus atau program latihan bersijil, seseorang berpeluang bertemu dengan tenaga pengajar yang berpengalaman, pakar industri dan peserta lain yang yang dapat membantu individu tersebut memahami trend industri serta meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah.
Keterlibatan ini sekali gus boleh membuka pintu kepada peluang-peluang besar seperti perkembangan kerjaya, bimbingan perniagaan atau kerjasama dalam projek tertentu kerana wujudnya hubungan baik antara pemain industri yang memiliki hala tuju selari.
Justeru, pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menambah ilmu dan kemahiran selepas SPM agar lebih bersedia menghadapi cabaran arena profesional. Kesedaran awal dan perancangan yang baik dapat membantu mereka mencapai kejayaan.
Data terkini mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 memberikan gambaran tentang trend kehadiran, pencapaian, serta kecenderungan lepasan SPM dalam memilih hala tuju mereka.
Statistik yang telah dikenal pasti adalah seperti yang berikut:
- Kehadiran Calon: Setakat Januari 2025, peratusan kehadiran calon SPM 2024 telah mencapai 97%. Namun, menurut Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina binti Sidek, terdapat kira-kira 10,000 calon belum melaksanakan pengesahan kehadiran (Rahim, 2025).
- Ketidakhadiran Penuh: Sebanyak 8,076 calon tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis SPM 2024. Daripada jumlah ini, 6,231 merupakan calon dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (Bernama, 2025).
- Perbandingan Tahunan: Jumlah ketidakhadiran penuh ini menunjukkan penurunan berbanding 10,160 calon yang tidak hadir pada SPM 2023 (Osman, 2025).
Walaupun terdapat peningkatan dalam usaha kerajaan untuk memastikan pelajar hadir menduduki peperiksaan dan melanjutkan pelajaran, terdapat cabaran-cabaran yang perlu diatasi terutamanya dalam menangani isu ketidakhadiran serta keengganan sebilangan lepasan SPM untuk menyambung pengajian.
Diharapkan dengan langkah proaktif yang berterusan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), institusi pendidikan, sokongan ibu bapa serta masyarakat, lebih ramai pelajar menyedari kepentingan pendidikan tinggi atau latihan kemahiran dalam menentukan masa depan golongan belia.
Rujukan
Bernama, 2025. (2025, Februari 13). Lebih 8,000 calon SPM 2024 tidak hadir peperiksaan bertulis. Astro AWANI. Diperoleh pada Februari 19, 2025, daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-8000-calon-spm-2024-tidak-hadir-peperiksaan-bertulis-508476
Osman, M. A. (2025, Februari 18). 8,076 calon SPM 2024 tidak ambil semua kertas peperiksaan. Malaysia Gazette. Diperoleh pada Februari 19, 2025, daripada https://malaysiagazette.com/2025/02/18/8076-calon-spm-2024-tidak-ambil-semua-kertas-peperiksaan/?utm_source=chatgpt.com#google_vignette
Rahim, F. (2025, Januari 2). Peratusan calon SPM 2024 hadir cecah 97 peratus – Fadhlina. Astro AWANI. Diperoleh pada Februari 19, 2025, daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/peratusan-calon-spm-2024-hadir-cecah-97-peratus-fadhlina-502929