Projek-projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan di Daerah Daro, Bahagian Mukah telah membawa impak besar kepada penduduk setempat, khususnya dari segi penyediaan infrastruktur asas yang lebih moden, selesa dan berkualiti.
Pelaksanaan RTP sememangnya penting bagi masyarakat di Daerah Daro kerana ia meningkatkan kemudahan harian, sekaligus memperkukuhkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar.
Sebagai contoh, Projek Bina Baru Taman Permainan dan Rekreasi Kanak-Kanak Daerah Daro telah menyediakan infrastruktur rekreasi yang lebih teratur, selamat dan kondusif untuk aktiviti sukan serta riadah bagi penduduk kampung.
Projek ini bermula pada 2 November 2021 dan telah siap sepenuhnya pada 1 Mac 2022, menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang berkualiti kepada rakyat.
Secara keseluruhannya, RTP merupakan inisiatif strategik Kerajaan Sarawak yang menumpukan kepada peningkatan kemudahan serta prasarana di peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang seimbang dan inklusif.
