Date:

Share:

Terokai Pekerjaan Hijau

Related Articles

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Namun begitu, sekiranya anda mempunyai minat dan rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap alam sekitar, mungkin kerjaya dalam Ekonomi Hijau ataupun Ekonomi Biru sesuai untuk anda.

Sebelum itu, mari kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan ekonomi hijau dan ekonomi biru. Ekonomi hijau dan ekonomi biru merujuk kepada aktiviti dan amalan ekonomi yang mengutamakan kelestarian, pemuliharaan alam sekitar dan tanggungjawab terhadap sumber semula jadi.

Sektor ekonomi ini merangkumi dua (2) komponen:

  1. Ekonomi Hijau: Memberi tumpuan kepada aktiviti, industri dan teknologi mesra alam yang bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar melalui galakan dan amalan mampan, kecekapan sumber serta peralihan kepada sumber tenaga diperbaharui. Sektor-sektor utama dalam ekonomi hijau ialah tenaga diperbaharui, pertanian mampan, eko pelancongan dan teknologi hijau.
  • Ekonomi Biru: Merujuk kepada aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan penggunaan mampan dan pemuliharaan sumber laut dan pantai. Aktiviti dalam ekonomi biru merangkumi perikanan, akuakultur, pengangkutan maritim dan pelancongan marin. Ekonomi biru bermatlamat untuk memastikan aktiviti-aktiviti ini dijalankan dengan cara yang memelihara kesihatan ekosistem marin, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), peralihan kepada ekonomi hijau telah mewujudkan penciptaan pekerjaan baharu dalam sektor seperti tenaga diperbaharui, kecekapan tenaga dan perlindungan alam sekitar yang disebut sebagai ‘Pekerjaan Hijau.’

Secara dasarnya, pekerjaan hijau menyumbang kepada perlindungan alam sekitar sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan memberi manfaat kepada alam sekitar menerusi langkah mengurangkan jejak karbon, memelihara sumber semula jadi dan menyokong ekonomi mampan.

Pekerjaan hijau dikategorikan kepada beberapa bidang seperti pemuliharaan tenaga bersih yang melibatkan aktiviti pembangunan, pemasangan dan penyelenggaraan teknologi yang dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan pelepasan karbon.

Bidang pengurusan sumber manusia dalam pekerjaan hijau melibatkan pemeliharaan dan pengurusan sumber alam seperti air, tanah dan hutan.

Selain itu, bidang pengurusan kitar semula dan pengurangan sisa menekankan kepada usaha pengurusan dan pengurangan sisa melalui langkah kitar semula seperti aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pengurusan bahan kitar semula termasuklah pembangunan strategi pengurangan sisa.

Satu lagi cabang pekerjaan hijau ialah bidang pertanian lestari yang mencakupi teknik pertanian mesra alam seperti pertanian organik dan agroekologi.

Kaedah pertanian ini bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif terhadap tanah dan air serta meningkatkan kesuburan tanah.

Sektor pengangkutan hijau juga menawarkan peluang pekerjaan hijau seperti jurutera kenderaan elektrik, perancang infrastruktur laluan kenderaan seperti basikal dan skuter elektrik dan pengendali pengangkutan awam.

Pada masa ini, seluruh dunia berdepan dengan perubahan iklim termasuklah isu yang timbul dalam persekitaran pekerjaan dan alam sekitar.

Dalam hal ini, pekerjaan hijau berpotensi membantu memulihara alam sekitar dan pada masa yang sama membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dengan terciptanya pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran.

Laporan oleh Hijau Global Linkedin melaporkan terdapat beberapa cabang pekerjaan hijau yang boleh diceburi berdasarkan perkembangan memberangsangkan antara tahun 2016 hingga 2021.

Walau bagaimanapun, perkembangannya di rantau Asia Pasifik sedikit perlahan, iaitu pada kadar 30 peratus sahaja berbanding dengan 41 peratus di Eropah dan 70 peratus di Amerika Syarikat.

Kekurangan tenaga mahir dalam bidang berkaitan teknologi hijau dikatakan antara penyebab kadar perkembangan pekerjaan hijau di rantau Asia Pasifik agak perlahan.

Di Malaysia, Sarawak muncul sebagai peneraju usaha menangani perubahan iklim melalui dasar pembangunan lestari seperti pembangunan hidrogen, tenaga diperbaharui, ladang solar terapung di Batang Ai serta aktiviti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang selari dengan matlamat karbon sifar bersih global menjelang 2050.

Seorang pekerja ladang solar terapung di Batang Ai sedang menjalankan tugas

Lebih daripada itu, Sarawak juga akan melancarkan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 pada tahun ini dan sedang merangka Dasar dan Hala Tuju Ekonomi Biru (SBEP) untuk pembangunan pantai dan ekosistem marin mampan yang merangkumi banyak aktiviti ekonomi yang bergantung pada kelestarian dan produktiviti lautan dan pantai termasuk perikanan, akuakultur, tenaga diperbaharui, pelancongan dan perkapalan.

Aktiviti ekonomi biru memelihara kelestarian ekosistem marin, sumber laut dan pantai

Usaha ini sudah tentu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor hijau di negeri ini yang seharusnya diambil peluang oleh rakyat Sarawak, terutamanya golongan belia.

Secara kesimpulannya, pekerjaan hijau memainkan peranan penting dalam menangani cabaran alam sekitar hari ini dan membentuk masa depan yang mampan untuk generasi akan datang.

Sekiranya anda meneruskan kerjaya dalam bidang ini, anda bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan planet ini, malah juga akan menikmati kerjaya yang memuaskan dan penuh makna.

Adanya pelbagai peluang yang tersedia dalam ekonomi hijau merentasi pelbagai sektor, inilah masa yang terbaik untuk anda meneroka dunia pekerjaan hijau dan memulakan laluan kerjaya yang memberi manfaat kepada manusia dan alam sejagat.

Rujukan:

  1. https://www.generation.org/news/the-importance-of-green-jobs-why-they-matter-and-how-to-getstarted/
  2. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2292698
  3. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2025/04/1380526/syor-sedia-insentif-galak-industri-wujud-peluang-pekerjaan-hijau
  4. Setting the context: Transitioning to a Green and Blue Economy by International Labour Organization (ILO)
  5. http://pbb.org.my/Sarawak%20Mahu%20Terokai%20Ekonomi%20Biru.html

Popular Articles