Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa analisis terkini kerajaan menunjukkan bahawa lebih 30% pekerjaan baharu di Malaysia akan dipengaruhi oleh AI dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Di peringkat global, Laporan Pekerjaan Baharu 2025 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan kemajuan dalam AI dan sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka menggerakkan transformasi perniagaan pada tahun 2025.

Berdasarkan tinjauan WEF yang merentasi pekerja dalam pelbagai sektor yang optimis bahawa teknologi boleh mentransformasi cara dan tempat bekerja, sektor AI yang merangkumi Teknologi Pemprosesan Maklumat (VR, AR) termasuklah Data Besar mencatat peratusan tertinggi, iaitu 86%.
Sektor kedua tertinggi ialah Sistem Robot Mudah Alih 58%, diikuti Penjanaan dan Pengedaran Tenaga 41%, Bahan Baharu 30% dan Semikonduktor dan Teknologi Pengkomputeran 20%.
Memandangkan banyak syarikat berteraskan teknologi dan bertaraf dunia pada masa ini yang sebahagian besar daripadanya dipelopori oleh pekerja profesional teknikal, peluang pekerjaan bagi jurusan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) termasuk TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dilihat amat cerah.
Berikut disenaraikan tujuh (7) pekerjaan pada masa depan yang dijangka mendapat permintaan tinggi untuk anda terokai:
- Jurutera AI
Jurutera AI ialah profesional yang pakar dalam pembangunan dan implementasi sistem AI.
Kemahiran yang diperlukan: Pengaturcaraan (Python, R), pembelajaran mesin, pemodelan statistik dan analisis data.
Kelayakan: Ijazah sarjana muda dalam Sains Komputer, Kejuruteraan, Matematik atau bidang berkaitan.
- Jurutera Perisian
Jurutera perisian merancang, membangun dan menyelenggara sistem perisian kecerdasan buatan.
Kemahiran yang diperlukan: Pengaturcaraan (Java, C++, Python), reka bentuk sistem dan pengetahuan dalam pembangunan aplikasi.
Kelayakan: Ijazah sarjana muda dalam Sains Komputer, Kejuruteraan Perisian atau bidang berkaitan.
- Jurutera Keselamatan Siber
Jurutera keselamatan siber melindungi sistem dan data daripada ancaman siber.
Kemahiran yang diperlukan: Pengetahuan mendalam tentang rangkaian komputer, kriptografi, pengesanan ancaman dan pengurusan risiko.
Kelayakan: Ijazah dalam Keselamatan Siber, Teknologi Maklumat atau bidang berkaitan. Memiliki sijil profesional seperti CISSP adalah satu kelebihan.
- Penganalisis Data Besar
Penganalisis data besar berperanan mengumpul, memproses dan menganalisis data dalam jumlah yang besar. Ini bertujuan untuk memberi pandangan yang berharga kepada organisasi.
Kemahiran yang diperlukan: Kemahiran dalam analisis data, pengaturcaraan (SQL, Python) dan alat analisis data (Hadoop, Spark).
Kelayakan: Ijazah dalam Sains Data, Statistik atau bidang berkaitan.
- Juruaudit Bias Algoritma
Tugas juruaudit bias algoritma adalah memastikan algoritma yang digunakan tidak memaparkan prejudis dan diskriminasi.
Kemahiran yang diperlukan: Pengetahuan dalam pembelajaran mesin, statistik dan etika data.
Kelayakan: Ijazah dalam Sains Komputer, Statistik atau bidang berkaitan. Pengalaman dalam pengauditan dan analisis data adalah penting.
- Broker Data
Broker data mengurus, menjual dan membeli data untuk pelbagai kegunaan komersial.
Kemahiran yang diperlukan: Kemahiran dalam analisis data, pengetahuan undang-undang data dan pemasaran.
Kelayakan: Ijazah dalam Sains Data, Perniagaan atau bidang berkaitan. Pengalaman dalam industri data adalah satu kelebihan.
- Jurutera Robotik
Jurutera robotik berperanan membangunkan dan menyelenggara robot yang digunakan dalam pelbagai industri.
Kemahiran yang diperlukan: Kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik, pengaturcaraan dan reka bentuk sistem.
Kelayakan: Ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal, Elektronik atau bidang berkaitan.
- Jurutera Tenaga Boleh Diperbaharui
Jurutera tenaga boleh diperbaharui mereka bentuk, membangun dan melaksanakan sistem tenaga mampan untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Kerjaya dalam bidang ini mencorak masa depan ekonomi hijau.
Kemahiran yang diperlukan: Kejuruteraan mekanikal, elektrikal, teknologi solar, kecekapan tenaga atau alam sekitar.
Kelayakan: Ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal atau bidang berkaitan.
Selain kemajuan teknologi seperti automosi dan AI, pelbagai faktor lain turut mempengaruhi pekerjaan masa depan antaranya, peralihan demografi tenaga kerja, keperluan syarikat menyesuaikan diri dengan keperluan generasi muda yang memasuki pasaran kerja, globalisasi dan penyumberan luar dan faktor-faktor yang lain.
Pekerjaan baharu yang akan muncul pada masa hadapan akan menjadi semakin dinamik serta memerlukan bakat dan kemahiran yang mampu beradaptasi dengan perubahan semasa.
Oleh itu, generasi muda perlu bersedia dari sekarang supaya dapat menghadapi cabaran dalam perubahan pantas ekonomi dan gaya hidup yang mempengaruhi cara bekerja bagi memenuhi keperluan pasaran kerja masa depan yang dikuasakan oleh teknologi.

Lagipun, kebanyakan pekerjaan pada masa depan menawarkan gaji yang lumayan dengan purata dari RM8,000 untuk permulaan hingga RM20,000 bagi yang berpengalaman. Inilah masa yang tepat untuk anda mula meneroka.
Rujukan: